PPM menyelamatkan individu terkandas di perairan Pulau Tambisan.
PPM menyelamatkan individu terkandas di perairan Pulau Tambisan.
Juwan Riduan


PASUKAN Polis Marin (PPM) Lahad Datu menyelamatkan empat individu yang terkandas di tengah laut selepas bot tunda mereka mengalami masalah enjin ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Semporna, semalam.

Dalam kejadian 2 petang itu, semua mangsa warga tempatan terkandas di perairan berhampiran Pulau Tambisan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Pin Sing berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung Pulau Tambisan pada 2.05 petang memaklumkan bot tunda terkandas di barat pulau berkenaan.

Katanya, bertindak atas maklumat berkenaan, bot ronda dikerah ke perairan berkenaan.

"Sebaik tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian, pasukan bot ronda mendapati sebuah bot tunda terkandas berhampiran dengan tanda laut Pancang Kuning," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gan berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot tunda berkenaan mengalami masalah enjin dan hanyut sebelum terkandas di lokasi berkenaan dan turut mengalami kebocoran.

"Kru bot ronda kemudiannya membawa semua kru bot tunda ke Markas Tektikal Pulau Tambisan untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan mendapati keempat-empat mangsa berusia antara 20 dan 50-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sehubungan itu, Gan menyarankan semua bot atau kapal yang keluar ke laut perlu memastikan bot atau kapal mereka dalam keadaan baik ekoran keadaan cuaca tidak menentu serta laut bergelora ketika ini.

"Masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya juga diminta membantu dengan segera menyalurkan maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di nombor 013-2831197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 12:22 PM