LOKASI lelaki dikhuatiri lemas. (Gambar kecil) Herman Gasim. FOTO Maritim Malaysia
LOKASI lelaki dikhuatiri lemas. (Gambar kecil) Herman Gasim. FOTO Maritim Malaysia
Hazsyah Abdul Rahman


PEMANCING dikhuatiri hilang selepas bot pam dinaikinya karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Kampung Bangigod, Tungku, dekat Lahad Datu, kelmarin.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa Herman Gasim, 31, bersama seorang lagi rakannya Mazlan Mohamad, 38, menaiki bot pam untuk memancing di kawasan pantai berkenaan.

Ketika berada di dua batu nautika dari pantai Kampung Bangigod, bot pam dinaiki terbalik akibat dipukul ombak sehingga terjatuh ke dalam laut.

Bagaimana Mazlan dikatakan selamat selepas berjaya berenang ke tepi pantai sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit 9.45 malam, Sabtu lalu.

“Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan pada malam kejadian yang

membabitkan sebanyak empat aset laut dari APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“SAR kemudian ditangguh semalam dan disambung semula pagi ini meliputi kawasan seluas 86 batu nautika persegi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 8:50 AM