AHMAD Mazuki (tengah, bertopi) melakukan pemeriksaan ke atas lori sempena Ops Khas Raya. FOTO Siti Nadzirah Che Mud
AHMAD Mazuki (tengah, bertopi) melakukan pemeriksaan ke atas lori sempena Ops Khas Raya. FOTO Siti Nadzirah Che Mud
Siti Nadzirah Che Mud


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas kira-kira lapan tan mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM191,182 sepanjang Ops Khas Raya yang dilancarkan sejak 14 Mei lalu.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Mohd Nasir Yusoff berkata, sepanjang tempoh itu, tiga kes mercun dan bunga api direkodkan dan kompaun bernilai RM33,000 dikeluarkan bagi kesemua kes berkenaan.

“Terdapat satu kes membabitkan sebuah lori dirampas dan seorang ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1) (e) Akta Kastam 1967, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah nilai barangan terbabit atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, ” katanya ketika ditemui dalam sekatan khas penyeludupan mercun dan bunga api di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Labok di Machang, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Nasir berkata, JKDM akan mengadakan rondaan secara berkala di sekitar bandar Kota Bharu dalam masa terdekat sepanjang minggu akhir Ramadan ini.

“Kami akan terus melakukan operasi secara berkala di negeri ini bagi membanteras aktiviti penyeludupan mercun dan bunga api dengan bertindak sebagai agensi peneraju (lead agency) dalam penguatkuasaan.

“Ia termasuk memeriksa kedai, kenderaan, serta membuat serbuan berdasarkan maklumat risikan dan aduan daripada orang awam

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada sesiapa yang didapati menjual, mengedar, memiliki dan menyalakan bunga api serta mercun semasa rondaan diadakan,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya tidak terbabit dengan sebarang permainan mercun dan bunga api bagi mengelak kejadian tidak diingini menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 2:53 PM