Abdul Latif (kiri) bersama pegawainya menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas dalam Ops Raya di tiga lokasi berasingan ketika mengadakan sidang media di Kompleks Kastam Negeri Kedah. FOTO Amran Hamid
Abdul Latif (kiri) bersama pegawainya menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas dalam Ops Raya di tiga lokasi berasingan ketika mengadakan sidang media di Kompleks Kastam Negeri Kedah. FOTO Amran Hamid
Norul Awatif Romli

Alor Setar: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah mematahkan sembilan kes cubaan menjual dan mengedar bunga api serta mercun bernilai RM95,846 dengan jumlah cukai sebanyak RM67,041.34 menerusi Ops Raya bermula 2 Jun lalu.

Pengarahnya Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, daripada sembilan kes itu pihaknya mengesan tiga kes penyeludupan dijalankan secara besar-besaran dengan kes terbaru dikesan pada Ahad lalu di sebuah rumah terletak di Taman Pelangi, Kuala Kedah, di sini, yang dipercayai dijadikan sebagai stor simpanan mercun serta bunga api bernilai RM110,742, manakala jumlah cukai sebanyak RM280,010.52.

"Pemeriksaan jam 9.45 malam itu kita turut menjumpai pelbagai jenis rokok bernilai RM45,100 dengan jumlah cukai sebanyak RM243,251 dan kita percaya premis itu dijadikan sebagai transit sebelum komoditi berkenaan dijual kepada pelanggan membabitkan pasaran setempat (Alor Setar).

"Siasatan lanjut mendapati rumah berkenaan adalah milik seorang peniaga lelaki berusia 47 tahun dan kita sudah menahannya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki atau menyimpan barang belum lulus Kastam arau larangan," katanya.

Menurutnya, dalam dua lagi serbuan berasingan dijalankan pada Rabu dan Jumaat lalu pihaknya berjaya merampas mercun dan bunga api bernilai RM18,793 dengan jumlah cukai sebanyak RM21,580.07.

"Kes pertama dikesan pada Rabu lalu kira-kira jam 5.30 petang di lorong pemeriksaan kenderaan di kawasan pintu masuk sempadan Bukit Kayu Hitam dan menahan sebuah kereta jenis Volkswagon dinaiki dua lelaki berusia 30-an. Hasil pemeriksaan menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api dipercayai disembunyikan di dalam bonet belakang kereta.

"Manakala, pada Jumaat lalu jam 10.45 malam di kawasan Zon Perindustrian Bukit Kayu Hitam kita menahan sebuah kereta jenis Naza Citra dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan. Apabila dihampiri pemandu terbabit bertindak memecut kenderaan sebelum berhenti di kawasan belukar di Kilometer 4.4 Lebuhraya Plus di Changlun dan melarikan diri ke dalam belukar berkenaan," katanya.

Katanya, pemeriksaan terhadap kenderaan itu menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api disimpan di bahagian tempat duduk penumpang dan di dalam bonet belakang.

Ops Raya diadakan bermula 2 Jun lalu dan berakhir pada 4 Julai depan dengan menumpukan kawasan bazar Ramadan, pintu masuk sempadan, premis-premis dan juga stor yang dikenal pasti digunakan untuk menyimpan mercun serta bunga api sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 2:44 PM