Siti Nor Hidayatidayu Razali


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 300 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai lebih RM243,000 dalam serbuan sebuah lori di Kampung Laloh dekat Kuala Krai, 5 Januari lalu.

Dalam serbuan jam 7 malam itu, pihak berkuasa turut menahan pemandu lori berusia 50 tahun untuk siasatan lanjut.

Pengarah Kastam Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, mercun dan bunga api yang dirampas dipercayai untuk bekalan Tahun Baharu Cina yang dibawa masuk menerusi pengkalan haram di Sungai Golok menggunakan bot secara sedikit demi sedikit.

Katanya, bahan terlarang itu kemudian diletakkan di dalam lori untuk dibawa ke lokasi pasaran di luar Kelantan.

“Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Kelantan Cawangan Rantau Panjang mengesan lori jenis Nissan dalam keadaan mencurigakan dan kita menahan lori berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui lebih 300 kotak berisi 8,700 kilogram (kg) mercun dan bunga api pelbagai jenis di dalam lori.

“Pemandu lori ditahan dan kita sedang mengesan pemilik lori berkenaan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM, Rantau Panjang, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau dipenjara selama tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, JKDM Kelantan akan meneruskan operasi bagi membendung kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan barang seperti rokok, minuman keras, mercun dan lain-lain diminta melaporkan terus kepada JKDM melalui talian aduan penyeludupan 1-800-88-8855 atau 09-7411175 atau Pejabat Kastam yang berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 11:27 AM