LORI sarat dengan mercun dan bunga api yang dirampas. FOTO ihsan Jabatan Kastam
LORI sarat dengan mercun dan bunga api yang dirampas. FOTO ihsan Jabatan Kastam
Mohd Roji Kawi


CUBAAN penyeludup menyorok mercun dan bunga api di bawah timbunan kotak makanan dan tong minyak, gagal mengaburi pihak berkuasa, apabila lebih satu tan bahan larangan itu ditemui di dalam lori yang sarat dengan muatan, kelmarin.

Lori berkenaan yang dalam perjalanan dari Sibu ditahan sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Jalan Kuching-Sri Aman pada 4.30 pagi.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, pihaknya melakukan penjejakan selepas menerima maklumat berhubung lori penghantaran yang mencurigakan itu

Selepas membuat intipan, anggota penguat kuasa JKDM kemudiannya memintas lori berkenaan dan pemeriksaan lanjut menemui 30 kotak yang mencurigakan diletak di bawah timbunan kotak berisi makanan dan tong minyak hitam kenderaan.

“Selepas diperiksa, didapati kotak-kotak itu mengandungi 720 karton mercun dan bunga api pelbagai jenama seberat 1,116 kilogram dipercayai dibawa masuk ke negeri ini secara tidak sah.

“Mercun dan bunga api itu kemudiannya dirampas dan nilainya dianggarkan RM34,980 manakala amaun cukai Kastam pula dianggarkan sebanyak RM 22,737,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

JKDM Sarawak melancarkan Ops Sinar yang dilaksanakan mulai 1 Oktober hibgga 30 Oktober ini bagi mengesan penyeludupan mercun dan bunga api sempena Deepavali.

Sharifah Halimah berkata, lori serta pemandu dan seorang kelindannya kemudian dibawa ke pejabat JKDM Kuching untuk tindakan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(b) Akta Kastam 1967, yang jika sabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana jumlah yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah dengan menghubungi Talian Bebas Tol JKDM 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri.

“Pihak JKDM memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 9:55 AM