BENDERA parti politik masih kelihatan di sekitar Jalan Tun Ismail, Kuantan. FOTO Asrol Awang
BENDERA parti politik masih kelihatan di sekitar Jalan Tun Ismail, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) memberi tempoh sehingga 5 petang hari ini untuk semua parti politik menurunkan poster dan bendera dipasang sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian berkata, tempoh ditetapkan sudah berakhir Rabu lalu, tetapi pihaknya masih memberi peluang kepada parti politik menurunkan bahan kempen itu.

Katanya, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan wang deposit tidak dikembalikan.

“Jika bahan kempen tidak dibersihkan, wang deposit RM5,000 bagi calon Parlimen dan RM3,000 bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan dikembalikan.

“Arahan penurunan bahan kempen berkuat kuasa sejak 10 Mei lalu dan setakat ini, masih ada poster dan bendera dipasang parti politik belum diturunkan.

“Kami masih memberi peluang kepada wakil semua parti sehingga petang ini untuk mereka menurunkan semua bahan kempen itu,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Tinjauan di sekitar pusat bandar mendapati masih ada bendera parti politik belum diturunkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 9:56 AM