Shadan Othman.
Shadan Othman.
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menurunkan 30 bendera dan gegantung parti politik di 10 lokasi sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana menyalahi peraturan berkempen.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman berkata, tindakan itu diambil kerana bahan kempen berkenaan mengganggu lalu lintas yang boleh menyebabkan insiden tidak diingini berlaku ke atas pengguna jalan raya.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga menasihatkan mana-mana parti politik tidak menggantung bahan kempen dengan slogan berbentuk perkauman, isu menyakitkan mana-mana pihak dan poster dipaku pada pokok yang boleh merosakkan landskap.

"Selain itu, gegantung juga tidak dibenarkan dipasang di premis agensi kerajaan, bangunan atau stesen bas.

"Ada beberapa gegantung diletakkan di tepi simpang yang menghalang pandangan dan boleh menyebabkan kemalangan, selain kita turut mengesan slogan berbentuk perkauman pada bahan kempen, sebelum bertindak menurunkannya (gegantung)," katanya ketika ditemui di Semabok hari ini.

Beliau berkata, susulan itu PBT berkenaan memanggil pihak parti politik yang terbabit untuk memberikan penjelasan dan meminta mereka mengambil semula gegantung yang diturunkan dan perlu memastikan kejadian sama tidak berulang.

"MPHTJ akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa supaya tiada gegantung dipasang pihak tidak bertanggungjawab di lokasi yang membahayakan keselamatan orang ramai menjelang hari kemuncak pembuangan undi Sabtu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 12:22 PM