CHE Ariffin menunjukkan sangkar ikannya yang dimusnahkan gajah di Kampung Meranto, Gua Musang, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim
CHE Ariffin menunjukkan sangkar ikannya yang dimusnahkan gajah di Kampung Meranto, Gua Musang, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


PENTERNAK rugi lebih RM10,000 apabila kebun dan kolam ikannya dimusnahkan dua gajah liar dalam kejadian di Kampung Meranto, Gua Musang, hari ini.

Selain kerosakan lapan sangkar pelbagai ternakan ikan, 50 pokok kelapa dan pisang ditanam di kawasan seluas 1.6 hektar turut musnah selepas diserang selama tiga hari berturut-turut.

Che Ariffin Husain, 63, berkata dalam kejadian terbaru pada 3 pagi hari ini, dinding dapur rumahnya tercabut kerana haiwan liar terbabit berkemungkinan mencari garam disimpan atas kabinet dapur.

Menurutnya, dalam kejadian dua malam sebelum itu, dua gajah liar terbabit memusnahkan lapan sangkar yang mempunyai hampir 10,000 ikan termasuk keli, patin dan tilapia.

“Ketika kejadian, saya tidak ada di rumah kerana berada di sebuah rumah lain di Kampung Jerek.

“Apabila pulang pada 9 pagi hari ini, saya dapati dinding dapur tercabut,” katanya.

Che Ariffin berkata, beliau mula ternak ikan berkenaan sejak lebih dua tahun lalu dan kebanyakan ikan itu sudah dapat dijual, tetapi malangnya sangkar musnah.

Menurutnya, dua gajah terbabit masih bersembunyi di kawasan hutan berhampiran dan mungkin keluar semula jika jabatan berkaitan tidak mengambil tindakan susulan.

Katanya, memang kejadian seumpama itu pernah berlaku di kawasan itu, tiga tahun lalu tetapi hanya memusnahkan pokok getah sahaja.

“Saya sudah membuat laporan di Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Gua Musang pada 10 pagi tadi.

“Saya harap pihak berkenaan dapat bertindak segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 12:24 AM