(Gambar kiri) Jali menunjukkan kerosakan pada kuarters guru SK Permai. (Gambar kanan) Tanaman yang dimusnahkan gajah liar.  FOTO Ramli Ibrahim
(Gambar kiri) Jali menunjukkan kerosakan pada kuarters guru SK Permai. (Gambar kanan) Tanaman yang dimusnahkan gajah liar. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


KUARTERS guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai dekat Pos Pasik, Gua Musang rosak selepas sekumpulan gajah liar naik minyak di kawasan itu kira-kira 4 pagi semalam.

Ketika kejadian tiada guru di kediaman berkenaan, manakala Orang Asli di perkampungan berkenaan juga sempat menyelamatkan diri.

Turut musnah adalah tanaman pisang dan kelapa yang diusahakan penduduk serta guru.

Penghulu Pos Pasik, Hashim Harun berkata, kejadian itu disedari penduduk apabila mendengar bunyi bising gajah berkenaan yang menghampiri penempatan mereka.

"Ada kira-kira 10 ekor semuanya dan ia merempuh semua kebun kami dan turut merosakkan 10 pintu kuarters guru.

"Ketika itu rumah guru kosong kerana mereka masih belum pulang, manakala rumah penduduk tidak dihampiri. Namun mereka sempat melarikan diri ke kawasan lebih selamat.

"Kira-kira 6 pagi baharulah keadaan tenang dan gajah beransur keluar dari kawasan ini. Penduduk kembali ke rumah pada 7 pagi," katanya di Gua Musang, hari ini.

Hashim berkata, sebelum ini penduduk pernah diancam gajah liar yang memusnahkan kebun sayuran yang diusahakan.

Sementara itu, Pengawal Keselamatan SK Sri Permai, Jali Hashim, 40, pula berkata, dia menyedari berlaku kerosakan pada kuarters guru pada jam 8 pagi ketika mahu memulakan tugas.

"Hanya cermin tingkap pecah dan beberapa kerosakan kecil akibat rusuhan gajah di kebun dekat kuarters berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 2:45 PM