MOHAMMAD Khairil menunjukkan ikan yang mati akibat serangan memerang. FOTO Mohd Rafi Mamat
MOHAMMAD Khairil menunjukkan ikan yang mati akibat serangan memerang. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Temerloh: Dalam tempuh tujuh bulan kerugian lebih RM17,000 ditanggung seorang penternak ikan sangkar di Sungai Pahang berikutan serangan 10 hingga 15 ekor memerang hitam.

Mohammad Khairil Johari, 32, berkata, ancaman kumpulan memerang mula serius awal tahun ini kerana sebelum ini haiwan terbabit tidak terlalu mengganas menyerang ternakan ikan patin dan tilapia.

Dia yang memiliki 24 sangkar berkata, pernah terjadi ikan berumur lima hingga enam bulan yang sedia untuk dijual di tiga sangkar hampir semua hilang kerana dimakan memerang termasuk terlepas disebabkan sangkar berlubang.

"Kumpulan memerang hitam muncul pada waktu siang dan lebih aktif malam, untuk masuk ke dalam sangkar, haiwan itu menggigit jaring untuk membentuk lubang besar di tepi dan bawah sangkar.

"Seekor memerang hanya mampu makan seekor hingga dua ekor ikan bersaiz besar namun ia bertindak ganas membunuh dan mencederakan banyak ikan lain menyebabkan ikan mati dan tidak boleh dipasarkan. Antara 100 hingga 200 ikan mati dalam satu sangkar bagi sekali serangan kumpulan haiwan terbabit," katanya yang mengusahakan projek ikan sangkar di Kampung Tanjung Kubu, Kuala Krau dekat sini.

Menurutnya, kos makanan ikan yang meningkat dari semasa ke semasa menambahkan lagi beban lebih 40 penternak di kawasan Kuala Krau.

Mohammad Khairil berkata, setiap satu sangkar memerlukan RM3,100 sebagai kos makanan selama enam bulan dan apabila serangan memerang berlaku, dia berdepan kerugian kerana ikan mati dengan banyak.

"Saya sudah membuat aduan kepada Jabatan Perikanan Pahang dengan harapan masalah ini dapat diselesaikan seterusnya penternak tidak terus menanggung kerugian," katanya.

Rakannya, Mohamad Sakirim Rasli Samuddin, 38, berkata, memerang hitam sejenis haiwan yang kuat berdendam menyebabkan penternak ikan bimbang untuk bertindak menembak dan membunuhnya

"Penternak hanya mampu melakukan pengawalan di kawasan sangkar pada waktu malam, tunggu dan halau, itu saja yang kami mampu bagi memastikan tidak terus menanggung kerugian lebih besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 11:30 AM