Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh berjaya menangkap dan memindahkan lapan gajah liar di empat negeri sepanjang tahun ini.

Kelantan mencatat jumlah tangkapan terbanyak iaitu empat ekor diikuti Johor (2) dan masing-masing seekor di Perak dan Terengganu.

Ketua PKGK Kuala Gandah Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, terbaharu seekor gajah ditangkap di Felda Aring 8, Gua Musang, Kelantan pada kelmarin.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan ancaman gajah liar hampir setiap bulan, namun tidak semua aduan berakhir dengan operasi mengesan seterusnya menangkap haiwan berkenaan.

"Ancaman gajah banyak berlaku di Kelantan, Johor, Pahang, Perak, Terengganu dan Kedah. Pembukaan hutan berskala besar menjadi faktor utama haiwan berkenaan menceroboh ke kawasan ladang, kebun dan penempatan.

"Pelbagai usaha terpaksa dilakukan untuk menghalang gajah daripada terus menceroboh. Kaedah kawalan secara berterusan, pagar elektrik dan membina parit besar terpaksa digunakan," katanya dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, terdapat kes pihaknya hanya bertindak menghalau kumpulan haiwan berkenaan supaya masuk ke hutan berhampiran seterusnya membuat pemantauan selama beberapa hari di kawasan terbabit.

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, operasi menangkap dan memindahkan gajah liar dilakukan terutama apabila haiwan terbabit mengancam manusia dan memusnahkan tanaman seperti pokok buah-buahan, kelapa sawit dan nangka.

"Di Pahang, kali terakhir kita menangkap dan memindahkan gajah pada November tahun lalu, haiwan jantan berkenaan ditangkap di kawasan Perumahan Nelayan Sungai Puteri, Kuala Rompin selepas dipercayai keluar daripada hutan berhampiran.

"Kita ada menerima beberapa aduan ancaman gajah di beberapa daerah negeri ini sepanjang tahun ini namun operasi menangkap tidak dapat dilakukan disebabkan beberapa faktor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 8:45 AM