Mat Nawi melihat keadaan kolam ikannya yang kini kering akibat cuaca panas di Kampung Lepan, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Mat Nawi melihat keadaan kolam ikannya yang kini kering akibat cuaca panas di Kampung Lepan, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Seorang penternak ikan air tawar di Kampung Lepan Jaya di sini, resah memikirkan lebih 150,000 ikan air tawar pelbagai spesies berisiko mati kerana cuaca panas sejak sebulan lalu.

Lebih membimbangkan Mat Nawi Hussin, 65, dua daripada lapan kolam air tawarnya kini sudah kering akibat cuaca panas sejak sebulan lalu.

Menurut Mat Nawi, cuaca panas berterusan menyebabkan kolam ikan yang menempatkan kira-kira 8,000 ikan tilapia, kini kering.

Katanya, dia terpaksa memindahkan ikan terbabit ke kolam lain supaya tidak terus menanggung kerugian apabila ikan terbabit mati.

"Kini kolam ikan saya semakin padat dan air kolam juga semakin surut. Saya bimbang semakin banyak lagi ikan akan mati kerana air yang semakin surut serta jumlah ikan yang sangat banyak dalam satu-satu kolam.

"Sebelum ini saya tidak mencampurkan ikan berlainan jenis di dalam satu kolam, contohnya kalau ikan patin tidak diletak bersama dengan ikan tilapia.

"Namun, apabila kolam kering, saya terpaksa mencampurkan (ikan) di dalam satu kolam. Saya hanya bertawakal supaya masih ada rezeki," katanya ketika ditemui di Kampung Lepan Jaya, di sini.

Menurut Mat Nawi sejak berlakunya cuaca panas, ada ikan yang sudah mati iaitu ikan latin dan ikan tilapia.

Katanya, dalam tempoh sebulan, 1,000 ikan tilapia dan 100 ikan patin yang diternaknya mati.

"Dianggarkan, kerugian yang terpaksa saya tanggung lebih RM4,500 dan saya bimbang jika keadaan ini berterusan, akan lebih banyak ikan yang mati dan saya terpaksa menanggung kerugian yang lebih besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 9:51 AM