GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Gua Musang: Lelaki warga Myanmar pula maut selepas diserang seekor harimau belang di Ladang Meranto, di sini, 1.30 tengah hari semalam.

Mangsa berusia 22 tahun dikatakan sedang menoreh getah di ladang berkenaan bersama isterinya sebelum didatangi harimau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata. mangsa yang mengalami kecederaan parah di leher dibawa oleh empat rakan senegaranya ke Hospital Gua Musang (HGM).

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital selepas menerima rawatan kecemasan.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di kepala akibat serangan harimau," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan meneruskan pemasangan kamera dan perangkap harimau dalam usaha mengesan binatang berkenaan.

Terdahulu, Perhilitan Kelantan masih menyiasat di lokasi kejadian berhubung seorang warga Indonesia ditemukan maut di Hutan Simpan, Jalan Sri Bintang, Kampung Meranto, di sini, dipercayai dibaham harimau belang.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, sejurus menerima maklumat jam 10 pagi kelmarin dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, anggotanya bersama pasukan mencari digerakkan ke lokasi kejadian, kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 8:27 AM