Junaidi Ladjana


LELAKI dibelasah sehingga retak tulang pipi dan patah empat batang giginya dalam kejadian berhampiran simpang lampu isyarat One Place Mall, Putatan, Penampang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 27 tahun yang memandu Perodua Axia terbabit kemalangan dengan Perodua Alza berhampiran simpang lampu isyarat terbabit.

Difahamkan, dalam kejadian 5 petang itu, mangsa membuat pusingan U di lampu isyarat berdekatan One Place Mall, Putatan.

Ketika ingin menyusur keluar membuat pusingan U di sebelah kanan, Perodua Alza yang datang dari belakang dipercayai melanggar kereta mangsa.

Ekoran itu, mangsa keluar dari keretanya lalu dihampiri pemandu kereta Perodua Alza dan terus memukul mangsa.

"Susulan kejadian itu, mangsa ditumbuk dan ditendang di bahagian muka serta perut oleh pemandu Perodua Alza menyebabkannya retak tulang pipi dan patah empat batang gigi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan.

“Hasil siasatan, polis menahan suspek berusia 40-an yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 3:19 PM