Junaidi Ladjana


LULUH hati isteri apabila mengetahui penyeluk saku yang dikejar dan dibelasah sebelum diikat orang ramai di Pasar Tamu Putatan, Penampang, hari ini, adalah suaminya.

Ketika kejadian pada 8.30 pagi itu, suspek dipercayai cuba menyeluk beg duit seorang wanita namun ditangkap orang ramai selepas mangsa menjerit meminta tolong.

Suspek kemudian diikat sementara menunggu pihak polis, sebelum tiba-tiba seorang wanita menghampiri dan memeluk suspek.

"Kenapa sayang buat macam ini... sepatutnya sayang di rumah waktu ini," kata wanita yang dipercayai isteri lelaki terbabit sambil meraung dengan dikerumuni orang ramai.

Wanita itu menangis sambil berulang kali menanyakan kepada lelaki terbabit yang dipercayai suaminya kenapa dia melakukan perbuatan itu.

Situasi itu mengundang rasa simpati orang ramai kepada wanita terbabit selain geram kepada suaminya yang menjadi penjenayah dan menyusahkan orang lain.

Tidak lama selepas itu, polis tiba di lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan.

Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Putatan, Penampang untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek ditahan selepas disyaki melakukan jenayah seluk saku beg duit seorang wanita di kawasan pasar tamu berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dikatakan membeli barang keperluan di pasar raya di Putatan.

"Ketika hendak membeli sayur, mangsa merasakan beg tangannya diseluk oleh seseorang dari belakang. Mangsa terus menoleh dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali melarikan diri dengan membawa dompet milik mangsa.

"Mangsa kemudian menjerit ‘pencuri!’ dan orang awam yang berada di situ menahan dan seterusnya menangkap lelaki terbabit," katanya ketika dihubungi.

Mohd Haris berkata, suspek warga tempatan berusia 33 tahun manakala barang rampasan diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 3:39 PM
SUSPEK ditahan orang ramai selepas didapati cuba menyeluk saku beg duit wanita dan dipeluk wanita dipercayai isterinya di Pasar Tamu Putatan. FOTO ihsan pembaca
SUSPEK ditahan orang ramai selepas didapati cuba menyeluk saku beg duit wanita dan dipeluk wanita dipercayai isterinya di Pasar Tamu Putatan. FOTO ihsan pembaca