Polis bersama anggota bomba mengangkat mayat mangsa selepas berjaya dikeluarkan dari kenderaan pacuan empat roda.
Polis bersama anggota bomba mengangkat mayat mangsa selepas berjaya dikeluarkan dari kenderaan pacuan empat roda.
Juwan Riduan


Putatan: Lelaki maut selepas kenderaan dipandu melanggar belakang Perodua Myvi lalu terbabas dan terbalik berhampiran lampu isyarat simpang Klinik Kesihatan Putatan, Jalan Papar-Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 5.05 pagi, mangsa berusia 30 tahun yang tersepit dalam pacuan empat roda disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan datang dari arah yang sama menuju ke pusat bandar Kota Kinabalu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba pacuan empat roda melanggar kereta (di hadapan) dari arah belakang sehingga kedua-duanya terbabas ke bahu jalan.

"Akibat itu, pemandu pacuan empat roda tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, pemandu kereta iaitu lelaki tempatan berusia 30 tahun hanya cedera ringan.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 2:32 PM