Mohamed Nazri (tengah) menyaksikan pertukaran MoU  antara Syed Hassan  (kiri) dan Sheikh Fahmy di Pusat Pelancongan Malaysia, semalam.
Mohamed Nazri (tengah) menyaksikan pertukaran MoU antara Syed Hassan (kiri) dan Sheikh Fahmy di Pusat Pelancongan Malaysia, semalam.
HM Digital

Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan menyasarkan kedatangan 37 juta pelancong dengan nilai perbelanjaan RM168 bilion menjelang tahun 2020.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, sungguhpun begitu negara akan berdepan cabaran dari negara jiran seperti Singapura dan Indonesia yang menjadi pesaing terkuat menerusi penawaran produk hampir serupa.

Beliau berkata, sebagai contoh, Singapura secara agresif mempengaruhi pelancong China datang ke negara mereka menerusi tawaran pakej penerbangan tambang murah lebih menarik berbanding Malaysia.

“Keadaan ini memberi tekanan dan kesan kepada kedatangan pelancong China ke negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan aplikasi E-Halal dan menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Seni Teknologi Sdn Bhd dan Kolej Universiti KDU, di sini, semalam.

MoU itu diwakili Pengarah Seni Teknologi Sdn Bhd, Syed Hassan Syed Alwi dan Ketua Pegawai Pemasaran Kolej Universiti KDU, Sheikh Fahmy Sheikh Mohamed.

Mohamed Nazri berkata, dalam menangani cabaran itu, kerajaan mengambil langkah efektif dengan menambah baik sistem kemasukan pelancong dan menambah nilai tarikan produk pelancongan dalam negara.

Terdahulu, Mohamed Nazri dalam ucapannya berkata, sektor makanan berupaya berkembang baik dengan sasaran RM284 bilion pada tahun 2020 berbanding RM222 bilion pada tahun 2015.

Kerjasama antara Seni Teknologi dan KDU itu turut membabitkan pengedaran produk premium berasaskan makanan halal pada peringkat antarabangsa yang lebih tertumpu kepada aspek pembungkusan dan kualiti produk makanan halal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 8:40 AM