KERJASAMA strategik antara HDC dan AcrosX Japan Inc lonjak perdagangan dua hala melalaui pembekalan bahan, produk halal.
KERJASAMA strategik antara HDC dan AcrosX Japan Inc lonjak perdagangan dua hala melalaui pembekalan bahan, produk halal.
BERNAMA

EKSPORT produk halal Malaysia ke Jepun dijangka mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini, dipacu oleh kerjasama antara Halal Development Corporation Bhd (HDC) dengan AcrosX Japan Inc.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerjasama ini menggalakkan perniagaan Jepun memanfaatkan industri halal sebagai aliran pendapatan baharu seiring pertumbuhan pesat segmen mesra Muslim di negara ini.

“Kerjasama antara HDC dengan Acrosx membuka peluang baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia bagi menembusi pasaran halal Jepun dan meneroka peluang pasaran baharu dengan mengeksport produk halal Malaysia ke Jepun,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara HDC dengan AcrosX di sini.

Pemeteraian itu disaksikan Duta Besar Malaysia di Jepun, Datuk Kennedy Jawan.

Piawaian Mesra Muslim oleh HDC dan AcrosX juga dilancarkan pada majlis itu.

Mohamed Azmin berkata, produk halal bernilai RM2.5 bilion dieksport ke Jepun pada 2018 dengan 90 peratus terdiri daripada produk makanan halal dan bahan halal.

“Industri halal global dianggarkan mencecah AS$3.23 trilion pada 2018, dengan anggaran kadar pertumbuhan tahunan 7.49 peratus.

“MoU ini membolehkan HDC dan AcrosX membangun dan mewujudkan rangka kerja kerjasama strategik antara kedua-dua organisasi menerusi khidmat nasihat, pembangunan kapasiti dan bantuan teknikal untuk mewujudkan landskap perniagaan yang rancak dan mampan bagi segmen pengguna mesra Muslim di Jepun,” katanya.

Beliau berkata bagi perusahaan Malaysia, MoU itu peluang berharga untuk melonjakkan perdagangan dua hala, terutama menerusi pembekalan bahan halal dan produk separa proses yang mempunyai permintaan besar di seluruh dunia.

HDC adalah penjaga ekonomi halal Malaysia, dan bertanggungjawab menerajui pembangunan ekonomi industri halal di Malaysia.

“Justeru, kerjasama hari ini dilihat sebagai permulaan segmen baharu untuk pembangunan ekonomi di Jepun, dengan memanfaatkan kepakaran Malaysia dalam sektor halal serta kekuatan perindustrian Jepun maka sinergi kukuh dapat direalisasikan di samping menawarkan potensi ekonomi baharu untuk kedua-dua negara.

“Tambahan pula, Tokyo akan menganjurkan Sukan Olimpik 2020, kerjasama ini bersedia membolehkan pelbagai perniagaan memenuhi kehadiran pelancong Islam dalam jumlah besar seperti dijangkakan, menekankan lagi permintaan halal yang semakin meningkat sebagai pemacu ekonomi utama,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, landskap halal yang pesat juga melangkaui temasya itu apabila ia menyokong keperluan pengguna Islam yang berkembang di banyak wilayah dan bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 7:01 AM