Kuala Lumpur: Informa Exhibitions, penganjur acara Cityscape akan menganjurkan pameran hartanah terbesar dunia di Malaysia buat julung kalinya dan disokong oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Biro Konvensyen dan Pameran (MyCEB).

Cityscape Malaysia 2015 bakal dilancar dan diadakan dari 4 hingga 6 Februari 2015 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pelancongan adalah satu penyumbang pembangunan sosio-
ekonomi mana-mana negara.

Katanya, di Malaysia, industri pelancongan tetap kukuh dan adalah penyumbang keenam terbesar yang menjana Pendapatan Negara Kasar (PNK) berjumlah RM51.5 bilion kepada ekonomi pada 2013.

“Industri ini dijangka menarik lebih ramai pengunjung perniagaan bernilai tinggi ke Malaysia iaitu daripada 5 kepada 8 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong pada 2020.

“Kami yakin acara seperti Cityscape Malaysia akan menjadi penyumbang positif memartabatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan termasuk mengukuhkan sektor MICE, seterusnya memberikan insentif kepada pelancong untuk melawat Malaysia di samping menarik kedatangan pengunjung perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:05 AM