DR Sirajuddin
DR Sirajuddin
HM Digital

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyasarkan eksport produk halal meningkat 10 peratus tahun ini berbanding RM45 bilion pada 2017.

Pengarah Bahagian Hab Halal Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, ia disokong peningkatan permintaan produk itu secara konsisten bukan hanya daripada kalangan negara Islam, tetapi juga bukan Islam yang mengutamakan aspek pemprosesan makanan lebih bersih, terjamin, halal selain perkhidmatan berasaskan patuh Syariah.

Antara negara yang mengemukakan permintaan tinggi bagi mendapatkan sijil halal JAKIM adalah China, Jepun, Taiwan dan Hong Kong dan ​​​​​​​kelulusan membabitkan syarikat asing lazimnya memakan masa sehingga tiga bulan manakala syarikat tempatan 30 hari.

Sirajuddin berkata, setakat ini 42 negara mengiktiraf sijil halal JAKIM termasuk terbaru dari Lithuania dan Kazakhstan.

“Permintaan terhadap sijil halal kami itu turut diterima dari negara Eropah Utara,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama antara Taiwan Halal Integrity Development Association (THIDA) dan Serunai Commerce.

Perjanjian itu antara lainnya bertujuan menyediakan sistem latihan, pembangunan, pensijilan dan perusahaan halal bagi memenuhi permintaan serta kemajuan berkaitan di Taiwan.

Setakat ini, 700 perniagaan di Taiwan memperoleh sijil halal oleh pihak THIDA.

Pada majlis sama, Serunai Commerce menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Northport (Malaysia) Bhd bagi menghasilkan sistem logistik bersepadu dengan matlamat menjadikannya hab perdagangan halal global.

Serunai Commerce adalah pemaju Global Halal Data Pool iaitu pangkalan data halal pertama dunia dan membantu perdagangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan syarikat di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 10:37 AM