Ahmad Zahid melawat gerai pameran makanan halal selepas merasmikan MIHAS 2017 di KLCC, semalam.
Ahmad Zahid melawat gerai pameran makanan halal selepas merasmikan MIHAS 2017 di KLCC, semalam.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Keseragaman sijil perakuan standard halal tunggal di peringkat antarabangsa perlu diwujudkan bagi memastikan integriti halal dapat diperkukuhkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa ini terdapat 200 badan pengiktirafan sijil halal di seluruh dunia yang mengguna pakai sijil serta logo mereka sendiri dan menjadi satu lagi cabaran dalam menegakkan integriti halal.

Katanya, industri halal global menghadapi cabaran berlarutan berikutan ketiadaan keseragaman sijil perakuan standard halal tunggal di peringkat antarabangsa.

“Namun, ia tentunya ada jalan penyelesaian dan kita perlu mewujudkan keseragaman pengiktirafan bersama antara pensijilan halal masing-masing.

“Ini kerana halal bukan agenda sebuah negara sahaja sebaliknya memerlukan kerjasama semua negara kerana di ASEAN, kita sudah melaksanakan pembangunan program untuk memperkukuhkan eksport halal,” katanya berucap merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2017 (MIHAS 2017) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Dr Noraini Ahmad.

Menurut Ahmad Zahid lagi, eksport produk halal tahunan negara dijangka melebihi RM50 bilion menjelang tahun 2020.

Kata beliau, produk halal dari Malaysia menjadi pilihan ramai di seluruh dunia, sekali gus menyaksikan peningkatan dalam eksport iaitu RM23.9 bilion pada tahun 2011 kepada RM39.3 bilion, tahun lalu.

Katanya, tahun lalu, China adalah destinasi utama untuk eksport produk halal diikuti Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun.

“Kebanyakan produk eksport adalah makanan, minuman, bahan kandungan halal serta derivatif kelapa sawit.

“Dijangkakan, menjelang tahun 2020 produk eksport halal tahunan Malaysia akan melebihi RM50 bilion,” katanya.

Sementara itu, pameran MIHAS 2017 diadakan empat hari bermula semalam dengan tumpuan kepada empat kluster utama iaitu makanan, bukan makanan (kosmetik dan farmasutikal), perkhidmatan berasaskan shariah dan eCommerce.

Ia disertai 580 pempamer dari lebih 33 negara dan dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung.

Selain itu, penganjuran kali ini turut menyaksikan penyertaan pertama dari Finland dan Austria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 5:46 AM