ANTARA peserta yang hadir di majlis prapelancaran Malaysia Bike Week (MBW) 2018 peringkat zon utara. - Gambar ihsan FB Zamri Rimau Bikerz
ANTARA peserta yang hadir di majlis prapelancaran Malaysia Bike Week (MBW) 2018 peringkat zon utara. - Gambar ihsan FB Zamri Rimau Bikerz

Juru: Acara Minggu Permotoran Malaysia atau Malaysia Bike Week (MBW) 2018 yang bakal berlangsung di Serdang, Selangor pada 23 Mac ini dijangka bertambah meriah dengan kehadiran kira-kira 15,000 peserta dari zon utara.

Pengerusi Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia Zon Utara, Osman Eksan berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran ramai peserta dari zon utara untuk memeriahkan acara berkenaan nanti.

“Insya-Allah kami jangka antara 10,000 hingga 15,000 peserta dari zon utara akan hadir. Menariknya kami akan konvoi dari sini ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke lokasi acara di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang,” katanya selepas majlis prapelancaran Malaysia Bike Week 2018 peringkat zon utara di Pusat Pameran dan Jualan Benelli di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia, Datuk Sulaiman Samiaan.

Osman berkata, selain acara permotoran, peserta zon utara juga akan mempersembahkan tarian tradisional Melayu, Cina dan India pada majlis itu.

“Selain pemilik motosikal berkuasa tinggi, kita juga akan mendekati pemilik motosikal kapcai untuk turut serta berkonvoi nanti,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 8:11 AM