TRAK peribadi milik Sultan Johor yang  dipamerkan di MBW 2018.
TRAK peribadi milik Sultan Johor yang dipamerkan di MBW 2018.
Faris Fuad

Serdang: “Koleksi kenderaan peribadi Sultan Johor (Sultan Ibrahim Iskandar) bersifat eksklusif, tidak pernah dilihat di tempat lain,” kata pengunjung Malaysia Bike Week (MBW) 2018.

Fauzan Rahmat, 35, berkata, dia antara ribuan warga kota yang teruja selepas Sultan Johor berkenan memberi persetujuan untuk memperagakan koleksi kenderaan baginda yang tidak ternilai harganya menerusi acara MBW.

“Saya sebagai peminat sukan pemotoran tidak dapat gambarkan perasaan selepas melihat koleksi eksklusif baginda.

“Selalunya saban tahun, kita lihat pameran berkonsep pemotoran mengetengahkan motosikal yang diubah suai, tahun ini satu pembaharuan apabila Sultan Johor sendiri ‘ketengahkan’ koleksi kenderaan baginda,” katanya.

Dia ditemui pada pameran itu yang berlangsung selama tiga hari berakhir esok di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, semalam.

Sementara itu, pengunjung, Rogayah Hashim, 41, berkata, perasaan ingin tahu terhadap cita rasa kenderaan Sultan Johor antara faktor dia dan beberapa rakannya hadir ke MBW, semalam.

“Saya sebenarnya nak tahu cita rasa (kenderaan Sultan Johor).

“Selepas melihat koleksi terbabit, saya sangat berpuas hati, cita rasa baginda lain daripada yang lain.

“Itu yang tidak henti ‘selfie’ bersama rakan dengan latar belakang koleksi baginda,” katanya.

ANTARA koleksi kenderaan milik Sultan Johor.
ANTARA koleksi kenderaan milik Sultan Johor.

Pengunjung, Hang Nuqman, 40, berkata, Sultan Johor berkenan membenarkan koleksi kenderaan terbabit diperagakan kepada orang ramai menunjukkan baginda berjiwa rakyat.

“Sultan Johor sentiasa berkongsi minat baginda, saya berasa koleksi yang dikongsi ini dekat di hati baginda.

“Orang ramai tidak patut lepaskan peluang lihat koleksi baginda, peluang sebegini tidak datang selalu,” katanya.

Objektif MBW 2018 adalah menggabung dan merapatkan semua Persatuan Permotoran Malaysia bagi memupuk nilai peribadi dan kerjasama yang tinggi dalam kalangan penunggang di segenap peringkat umur.

Acara itu juga memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk mempromosikan produk permotoran tempatan serta membantu individu menjual dan membeli motosikal pada harga terpakai.

Media Prima Berhad (MPB) selaku antara rakan media rasmi acara MBW akan turut menganjurkan konsert membabitkan barisan artis popular pada acara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 5:34 AM