Kuantan: Sambutan dingin masyarakat terhadap borang balik kampung yang diedarkan polis di seluruh Pahang sempena Tahun Baru Cina kali ini amat mengecewakan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, ia jelas terbukti apabila polis menerima 360 daripada 2,000 borang balik kampung sejak diedarkan 12 Februari lalu.

“Masyarakat didapati masih tidak mengambil berat terhadap keselamatan rumah masing-masing ketika mahu meninggalkannya sempena musim perayaan.

“Sikap itu jelas menunjukkan orang ramai memandang ringan kepentingan mengisi borang itu untuk membantu polis membanteras jenayah pecah rumah pada musim perayaan.

“Kami sedikit terkilan dan kecewa dengan sikap masyarakat. Ia sangat penting bagi melancarkan perjalanan selain memudahkan polis membuat rondaan di kediaman yang ditinggalkan,” katanya selepas majlis pelancaran Op Selamat 6/2015 sempena Tahun Baru Cina, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Fatimah Ghazali dan Ketua Cawangan Khas Pahang, Datuk Riduan Hashim.

Pada majlis itu, Sharifuddin turut mengedarkan borang serta risalah yang mengandungi panduan mencegah jenayah dan nombor telefon polis negeri serta amalan pemanduan berhemah kepada pengguna jalan raya.

Beliau berkata, statistik kes jenayah harta benda Op Selamat Tahun Baru Cina 2014 menunjukkan, 179 kes dilaporkan membabitkan kes pecah rumah, curi kenderaan dan lain-lain kes kecurian berbanding 194 kes pada 2013.

“Ini menunjukkan sedikit penurunan 7.73 peratus dengan 15 kes.

“Bagaimanapun, kita sangat berharap masyarakat dapat memberi kerjasama yang baik dengan polis untuk terus berusaha mengurangkan kes jenayah pecah rumah pada musim perayaan,” katanya.

Sharifuddin berkata, dalam pada itu pengguna jalan raya juga diingatkan agar memandu secara berhemah, peka, bertimbang rasa dan yang paling utama adalah selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Katanya, golongan penunggang dan pembonceng motosikal yang merupakan penyumbang utama sebanyak 53.8 peratus kepada peningkatan kes-kes kemalangan maut di negara ini juga diminta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya terutama ketika aliran trafik yang dijangkakan sibuk menjelang musim perayaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 10:21 PM