Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, melepaskan konvoi anggota penguatkuasaan trafik ketika Majlis Pelancaran Op Selamat ke - 21 Sempena tahun Baharu Cina 2024 di Dewan Banquet Persada Plus, Subang, Selangor. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, melepaskan konvoi anggota penguatkuasaan trafik ketika Majlis Pelancaran Op Selamat ke - 21 Sempena tahun Baharu Cina 2024 di Dewan Banquet Persada Plus, Subang, Selangor. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Polis mensasarkan 18 lokasi 'hotspot' dan 46 lokasi "blackspot' di semua lebuh raya utama sepanjang Op Selamat 21 di seluruh negara, bermula esok hingga 13 Februari ini sempena Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagi kontinjen dan daerah pula sebanyak 407 lokasi hotspot dan 76 lokasi blackspot sudah dikenal pasti.

Menurutnya, Op Selamat bagi edisi kali ini masih mengekalkan tema "Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi", dengan mengangkat dua objektif utama iaitu meminimumkan kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran trafik dan mencegah jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.

"Dalam usaha kita mengurangkan kemalangan jalan raya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), terus komited memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin serta aliran trafik berjalan lancar.

"Total Enforcement and Delivery Services akan dipertingkatkan termasuklah memberi perkhidmatan kepada masyarakat khususnya untuk menyuraikan kesesakan dan memberi bantuan sekiranya berlaku sebarang permasalahan di jalan raya," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Op Selamat 21 dan perasmian VSP 2.0 di Persada Plus, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, bagi tujuan itu, JSPT akan digerakkan secara agresif meliputi elemen peronda lebuh raya (EMPV) , Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) dan Unit Risikan/ Operasi di semua daerah serta kontinjen diseluruh negara.

"JSPT juga turut dibantu oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM dalam menjalankan pemantauan udara di tiga zon utama iaitu zon Utara, Selatan dan Timur.

"Manakala, bagi mencegah jenayah pecah rumah pula, seluruh jentera PDRM di peringkat kontinjen akan digerakkan untuk rondaan pencegahan jenayah, risikan, operasi dan pemantauan secara berjadual di kawasan perumahan serta premis perniagaan terutamanya yangmemaklumkan ketiadaan mereka kepada pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 2:01 PM