GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) merekodkan 1,614 kes kemalangan di seluruh negara menerusi Op Selamat 21 Tahun Baharu Cina, setakat semalam.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 12 kes kemalangan maut dengan 13 kematian dilaporkan.

"Statistik ini turut merekodkan 1,986 kenderaan yang terbabit kemalangan.

"Sepanjang musim perayaan ini, JSPT mengenal pasti sebanyak 18 hot spot (lokasi panas) dan 46 black spot (lokasi hitam) di kawasan lebuh raya, selain 407 lokasi hot spot serta 76 black spot di negeri dan daerah," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Op Selamat 21 dilaksanakan di seluruh negara bermula Khamis hingga 13 Februari ini sempena Tahun Baharu Cina.

Polis turut menjalinkan kerjasama dengan rakan kolaborasi strategik Plus Malaysia Berhad (Plus), Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Persatuan Bulan Sabit Merah.

DATUK Mohd Azman Ahmad Sapri.
DATUK Mohd Azman Ahmad Sapri.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, Op Selamat bagi edisi kali ini mengekalkan tema 'Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi', dengan mengangkat dua objektif utama iaitu meminimumkan kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran trafik dan mencegah jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.

JSPT juga turut dibantu oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan pemantauan udara di tiga zon utama iaitu zon Utara, Selatan dan Timur.

Selain itu, bagi mencegah jenayah pecah rumah pula, seluruh jentera PDRM di peringkat kontinjen digerakkan untuk rondaan pencegahan jenayah, risikan, operasi dan pemantauan secara berjadual di kawasan perumahan serta premis perniagaan.

INFOGRAFIK Ops Selamat 21 Tahaun Baharu Cina
INFOGRAFIK Ops Selamat 21 Tahaun Baharu Cina

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 1:41 PM