TENGKU Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (duduk tengah) bergambar bersama pengamal media selepas Majlis Ramah Mesra MAIK bersama Rakan Media di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana. FOTO Faris Zainuldin
TENGKU Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (duduk tengah) bergambar bersama pengamal media selepas Majlis Ramah Mesra MAIK bersama Rakan Media di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana. FOTO Faris Zainuldin
Hazira Ahmad Zaidi

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mensasarkan mengutip zakat sebanyak RM180 juta, tahun ini.

Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, tahun lalu sebanyak RM179,303,841 berjaya dikutip berbanding RM162,674,943 pada 2016 yang menunjukkan peningkatan sebanyak RM16,685,306.27 atau 10.26 peratus.

"Walaupun dalam keadaan ekonomi agak mencabar, namun dengan usaha yang dilaksanakan, kami berasa amat berpuas hati kerana berjaya meningkatkan kutipan zakat sekali gus menunjukkan langkah yang diambil membuahkan hasil.

"Bagi meningkatkan kutipan, setiap awal tahun MAIK akan berkongsi mengenai pencapaian kutipan zakat pada tahun lalu serta perancangan yang dilakukan untuk aktiviti di tahun semasa.

"Tanggungjawab MAIK agak besar kerana mereka merupakan pemegang amanah dan keutamaan yang sentiasa diterapkan adalah ketelusan aktiviti yang dilaksanakan supaya mendapat keyakinan daripada masyarakat,"katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra MAIK Bersama Rakan Media di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana, Kota Bharu.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Ab Hadi dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamed.

Beliau berkata, sebanyak RM185,027,240 wang zakat dibelanjakan tahun lalu berbanding RM171,951,067 pada 2016 merangkumi asnaf fakir miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, ibnu sabil, fisabilillah serta projek pembangunan.

"MAIK sentiasa berusaha bagi memastikan agihan zakat kepada asnaf akan berterusan selain media turut memainkan peranan penting bagi mewar-warkan kepentingan mengeluarkan zakat.

"Saya yakin MAIK dapat mencapai kutipan zakat seperti yang disasarkan berdasarkan peningkatan kutipan tahun lalu dengan zakat pendapatan paling tinggi iaitu RM107,062,732 pada 2017 berbanding RM103,935,048 pada 2016," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 1:21 PM