KEADAAN Honda City yang remuk akibat terbabit kemalangan dengan treler muatan pasir. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN Honda City yang remuk akibat terbabit kemalangan dengan treler muatan pasir. FOTO Ihsan PDRM
Amran Yahya


WANITA maut manakala menantu lelakinya cedera selepas kereta dinaiki merempuh bahagian belakang treler yang berhenti di Kilometer 17 Jalan Seremban-Kuala Pilah, arah Seremban, dekat Bukit Putus, awal pagi ini.

Mangsa Hamidah Awang, 58, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala menantunya yang memandu Honda City, Muhammad Hanafe Juhari, 26, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Haslah Bachok berkata, dalam kejadian 4.40 pagi itu, mereka dikatakan dalam perjalanan dari Marang, Terengganu untuk ke rumah anaknya di Nilai.

"Siasatan awal mendapati, kereta dipandu Muhammad Hanafe dari arah Kuala Pilah ke Seremban itu merempuh bahagian belakang treler membawa muatan pasir yang berhenti di bahu jalan.

"Berikutan itu, Hamidah yang duduk di bahagian penumpang hadapan tersepit sebelum dikeluarkan anggota bomba. Mangsa disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk bedah siasat.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk menemubual ahli keluarga mangsa gagal kerana mereka enggan ditemubual disebabkan masih bersedih dengan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 3:44 PM