LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Baling: Seorang ahli keluarga pemilik kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, mendakwa penggunaan racun bagi kawalan haiwan perosak adalah perkara biasa bagi pekebun sekitar kawasan berkenaan.

Pemuda berumur 35 tahun itu berkata kebanyakan penduduk sekitar sedia maklum mengenainya memandangkan kewujudan haiwan liar terutamanya monyet memang terlalu banyak di kawasan itu, dan sering merosakkan tanaman mereka.

Merujuk kepada kejadian kanak-kanak meninggal dunia dipercayai akibat mengambil makanan ringan yang dicampur racun tikus, beliau berkata keropok bercampur racun memang biasa digunakan bagi menangani masalah haiwan perosak berbanding buah-buahan, kerana penggunaan buah-buahan dikhuatiri akan membabitkan haiwan ternakan seperti lembu.

Beliau berkata adiknya yang berumur 34 tahun memberitahu bahawa makanan ringan yang dicampur racun tikus diikat tinggi, kira-kira 1.2 meter pada pagar kebun di kawasan laluan monyet, jauh dari sebarang laluan.

"Susah untuk budak tarik atau capai melainkan ada orang dewasa yang ambil atau ditarik monyet dan jatuh di tepi jalan… tapi kalau orang dewasa ambil, mereka akan perasan bungkusan itu tak sempurna, sudah ada kesan dibuka dan diikat dengan getah dan tali...tak mungkin mereka akan ambil," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Banggol Berangan dekat sini malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan dua kanak-kanak, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal selepas termakan makanan ringan disyaki mengandungi racun di kawasan kebun di kampung berkenaan Ahad lepas.

Muhammad Akil Syauqi meninggal dunia pada pukul 8.40 pagi semalam manakala adiknya masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan masih belum sedar.

– BERNAMA

TAG: kanak-kanak, makanan ringan, monyet, racun, kebun

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 1:09 PM