Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya wujudnya elemen rasuah berkaitan isu lubuk pelacuran di ibu negara yang masih tidak selesai sejak sekian lama.

Dalam isu pelacuran di Kuala Lumpur, beliau berkata, beliau turut meyakini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke arah untuk turut masuk campur termasuk yang membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan oleh Skuad Khas Harian Metro mengenai isu lubuk kegiatan pelacuran di ibu negara yang sudah berdekad lamanya wujud dan tidak selesai dihapuskan sedangkan Indonesia berjaya menutup Dolly, iaitu pusat persundalan terbesar Asia Tenggara terletak di Surabaya.

"Menteri Wilayah (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa) memang ditugaskan bersama Datuk Bandar (Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh) kerana hal ini dibiarkan sekian lama...termasuk semasa kerajaan dahulu itu kena faham.

"Saya percaya jika ada sarang pelacuran, sarang perjudian haram, semua ini mesti ada elemen sogokan. Saya percaya SPRM sedang pergi ke arah itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberikan ucapan dalam Forum Global Madani 2024 di sini, hari ini.

Harian Metro pada 22 Jun lalu menerusi laporan ekslusif bertajuk 'Hanyir Lubuk Dosa' mendedahkan lubuk kegiatan pelacuran tertua sekitar Pudu, Kuala Lumpur termasuk pelacur yang bersepah mencari pelanggan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong diserbu.

Polis menyerbu medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong serta menahan 27 orang termasuk pelayan pelanggan (GRO) dan pelacur.

Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu hasil pendedahan eksklusif Harian Metro sebelumnya berkaitan kegiatan medan selera menawarkan khidmat seks serendah RM100.

Susulannya itu, pada 27 Jun lalu polis mendedahkan mengenal pasti empat lokasi yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar ibu kota yang menawarkan khidmat seks dengan harga murah kepada pelanggan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, antara lokasi yang dikesan ialah Jalan Petaling, Jalan Gelang, Jalan Pudu dan Hotel Richmoore.

Penganalisis keselamatan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam turut memberikan pandangannya dengan mengatakan Indonesia boleh tutup kawasan Dolly di Surabaya yang sudah lama berakar sebagai pusat pelacuran terbesar Asia Tenggara, maka Malaysia boleh laksana tindakan sama di lubuk persundalan tertua di ibu negara.

Dengan kehendak tinggi untuk membuat perubahan, seorang wanita besi yang menjadi Datuk Bandar Surabaya Tri Rismaharini memainkan peranan penting menukar Dolly yang dulunya 'hanyir' dengan kegiatan persundalan dan kini sudah menjadi kawasan industri kecil sederhana (IKS) serta tempat pelancongan bersih.

Isu lapuk berdekad-dekad kegiatan pelacuran di ibu negara didedahkan Harian Metro itu turut mendapat reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang dilaporkan berkata dalam usaha menjamin keharmonian dan kesejahteraan warga kota, perbincangan lanjut untuk memperluaskan terma rujukan KL Strike Force akan diadakan supaya tindakan bersepadu dapat diambil untuk membanteras aktiviti pelacuran di seluruh Kuala Lumpur.

Dr Zaliha dilaporkan berkata satu strategi baru perlu dikaji dan diteliti di mana-mana kawasan yang dilaporkan dan dikenal pasti sebagai 'red light area' atau kawasan aktiviti pelacuran.

Beliau dilaporkan berkata, merubah wajah dan imej kawasan yang berkenaan boleh dilaksanakan melalui program pembaharuan semula bandar atau 'urban regeneration program' dengan meningkatkan ciri-ciri keselamatan, kebolehdiaman dan daya ekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar juga sudah arahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk membuat siasatan lanjut seperti dibangkitkan.

Penganalisis jenayah dan pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim turut mendesak semua pihak perlu berpadu tenaga menghentikan kegiatan ekonomi gelap itu.

Shahul Hamid berkata, apa yang menyedihkan ada yang sanggup menerima imbuhan daripada sindiket pelacuran yang jelas menjalankan perniagaan terkutuk dan terkeji memperdagangkan manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 1:18 PM