KEADAAN kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta Proton Saga BLM di Kilometer 26 Jalan Seremban - Kuala Pilah, hari ini. FOTO Amran Yahya
KEADAAN kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta Proton Saga BLM di Kilometer 26 Jalan Seremban - Kuala Pilah, hari ini. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


WANITA maut apabila kereta dipandunya bertembung treler di Kilometer 26, Jalan Seremban-Kuala Pilah, hari ini.

Nahas membabitkan tiga kenderaan itu berlaku pada 3.45 pagi menyebabkan kakitangan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kelapin, Bahau, M.Thanaletchumy, 26, yang memandu kereta Proton Saga BLM maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Haslah Bachok berkata, kemalangan membabitkan dua Proton Saga BLM yang dalam perjalanan dari arah Seremban ke Kuala Pilah dan sebuah treler dari arah bertentangan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Thanaletchumy cuba memotong kereta dihadapannya.

“Bagaimanapun ketika memotong, kereta yang dipandu wanita terbabit bertembung dengan sebuah treler menyebabkan kenderaan berat itu terbabas ke kanan jalan dan melanggar kereta lain,” katanya.

Haslah berkata, kejadian itu menyebabkan Thanaletchumy tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia serta-merta, manakala seorang lagi pemandu Saga BLM, Ujang Yahya, 48 dan pemandu treler, S.Torsamy, 54, tidak mengalami kecederaan.

Menurut Haslah, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk tindakan lanjut dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengengkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni ketika dihubungi berkata, sebuah jentera bersama lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 3.50 pagi.

“Setibanya di lokasi, kami dapatI sebuah kereta terperosok di bawah treler dan anggota bomba terpaksa memotong bahagian bumbung untuk mengeluarkan mangsa.

“Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 12:02 PM