AKMAL Saleh menjawab soalan lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, hari ini. FOTO Amir Mamat
AKMAL Saleh menjawab soalan lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan negeri akan melancarkan aplikasi telefon pintar baharu dikenali sebagai 'i-Cemas' bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka ketika ini.

EXCO negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, aplikasi itu bakal menyediakan maklumat serta rujukan orang ramai, khususnya pesakit, mengenai tahap kesihatan mereka serta status temu janji.

Beliau berkata, melalui aplikasi berkenaan juga, orang ramai boleh melihat data terkini jumlah pesakit yang masih menunggu rawatan di zon hijau, selain mendapatkan khidmat nasihat secara langsung bersama paramedik bertugas.

"Contoh, apabila seseorang itu sakit perut atau demam, aplikasi ini boleh tahu berapa ramai pesakit sama sedang mendapatkan rawatan dan berapa lama seseorang itu perlu menunggu untuk mendapatkan rawatan.

"Aplikasi itu juga turut mempunyai 'live chatbox', pesakit boleh berinteraksi secara langsung bersama paramedik dan mendapatkan khidmat nasihat mengenai tindakan seterusnya yang boleh dilakukan pesakit.

"Aplikasi ini boleh dimuat turun oleh semua yang mana ia antara inisiatif bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka," katanya ketika mewakili EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem menjawab soalan lisan Datuk Seri Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di Seri Negeri, sini, hari ini.

Dr Muhamad Akmal berkata, selain aplikasi itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) turut melakukan beberapa penambahbaikan untuk mengatasi isu kesesakan di hospital utama negeri.

Ia antaranya menghantar doktor pakar ke klinik kesihatan tanpa memerlukan pesakit datang ke Hospital Melaka.

"Contoh, pesakit yang perlu dapatkan rawatan susulan hanya perlu ke klinik kesihatan berhampiran tanpa perlu dirujuk ke Hospital Melaka. Begitu juga dengan doktor pakar kanak-kanak yang turut ditempatkan di klinik kesihatan.

"Pada masa sama, kita juga sudah memberi khidmat nasihat dan panduan kepada pesakit untuk datang janji temu pada waktu yang ditetapkan dan bukannya datang lebih awal sehingga menyebabkan kesesakan pada waktu pagi.

"Pusat pengambilan ubat secara pandu lalu juga sudah diwujudkan sejak sekian lama untuk mengatasi isu kesesakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 1:10 PM