ANGGOTA penguatkuasa JPJ Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan perkhidamatan awam dalam Op Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) di Plaza Tol Karak, Bentong, Selasa lalu.
ANGGOTA penguatkuasa JPJ Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan perkhidamatan awam dalam Op Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) di Plaza Tol Karak, Bentong, Selasa lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Masalah kewangan dan tiada masa untuk pergi mengambil ujian lesen memandu.

Itu alasan diberikan dua pemandu yang didapati tidak mempunyai lesen kenderaan perkhidmatan awam dalam Op Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) di Plaza Tol Karak, Bentong, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata, operasi itu dijalankan bermula jam 7 pagi.

"Dalam operasi ini, sebanyak 57 notis saman pelbagai kesalahan dikeluarkan termasuk dua pemandu yang didapati tidak memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

"Ketika ditanya kenapa tidak mempunyai lesen, mereka (pemandu itu) memberi alasan masalah kewangan dan tiada masa untuk mengambil lesen.

"Antara kesalahan lain yang dikesan adalah tiada pemandu kedua, cermin retak, cermin gelap, langgar syarat pengendali dan kesalahan teknikal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaki berkata, 20 kenderaan perkhidmatan awam juga turut diberi notis arah periksa dalam operasi berkenaan.

"Operasi ini diadakan bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap kenderaan pelancongan dan kenderaan perkhidmatan awam.

"Ini termasuk pemandu atau pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)," katanya.

Katanya, sebarang aduan trafik boleh disalurkan terus melalui aplikasi e-Aduan@jpj atau http://jpj.spab.gov.my berserta butiran pengadu dan aduan lengkap.

Sebelum ini, media melaporkan operasi bersepadu besar-besaran terhadap bas persiaran dilaksanakan di seluruh negara bermula 2 Julai lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan langkah itu bagi mengesan sebarang salah laku dan ketidakpatuhan undang-undang yang dilakukan operator bas persiaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 1:22 PM