MUSETTI meraikan kejayaannya mara ke separuh akhir Wimbledon. -FOTO AFP
MUSETTI meraikan kejayaannya mara ke separuh akhir Wimbledon. -FOTO AFP
Agensi

London: Lorenzo Musetti menyifatkan kejayaannya mara ke separuh akhir sebagai "hari ajaib" apabila menewaskan Taylor Fritz dalam pertarungan lima set bagi menempah tempat ke separuh akhir Wimbledon berdepan juara tujuh kali Novak Djokovic.

Musetti bangkit daripada satu set untuk menewaskan pilihan ke-13 dari Amerika, Fritz 3-6 7-6 (7-5) 6-2 3-6 6-1 pada aksi suku akhir yang mendebarkan.

Ditanya apakah erti kemenangan itu kepadanya, Musetti dari Itali berkata: "Selepas kelahiran anak saya, saya akan meletakkan ini (tenis) di kedudukan kedua.

"Sudah tentu, untuk kerjaya saya ia adalah hari terbaik dalam hidup saya," katanya.

Djokovic sebelum itu mara ke separuh akhir tanpa perlu mengeluarkan peluh selepas lawannya Alex de Minaur yang juga pilihan kesembilan Australia, menarik diri kerana kecederaan pinggul.

Rekod Musetti menentang Djokovic, yang akan dihadapinya esok tidak memihak kepadanya.

Dia hanya memenangi satu daripada enam pertemuan mereka dengan kekalahan terbaharu di Terbuka Perancis, kedua-dua di peringkat 16 terakhir pada 2021 dan pusingan ketiga pada Mei.

Musetti menyifatkan Djokovic sebagai "legenda, terutamanya di Wimbledon".

"Saya menjangkakan satu pertarungan yang mencabar dan hebat. Ia antara cabaran paling sukar dalam jelajah tetapi saya seorang yang bercita-cita tinggi dan saya suka dicabar," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 1:32 PM