LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Pelakon lelaki yang didakwa memukul teman wanitanya, Ahad lalu sudah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, individu berkenaan hadir ditemani bapanya pada jam 9 malam.

"Pelakon terbabit tidak ditahan dan hanya diambil keterangan.

"Rakaman percakapan kakak mangsa juga sudah diambil. Kertas siasatan akan dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut, "katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Shahrulnizam memaklumkan, pihaknya akan mendapatkan perintah dari Timbalan Pendakwa Raya untuk memanggil suspek bagi dirakam percakapan.

Pada 7 Julai lalu, seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, pada jam 3 pagi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.

Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara.

Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.

Tiba-tiba teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 1:16 PM