CHEF Wan.
CHEF Wan.

Kuala Lumpur: Cef selebriti Datuk Redzuan Ismail, 66, menjadi mangsa penipuan seorang kontraktor yang diberi tanggungjawab melakukan kerja ubah suai kediaman Allahyarham ibunya di Raub, Pahang.

Redzuan atau mesra disapa Chef Wan berkata dia terkejut apabila kerja-kerja pengubahsuaian yang sepatutnya siap Mei lalu terbengkalai sehingga ke hari ini sekali gus tidak dapat lagi menahan sabar.

"Bila proses ubah suai bermula pada Februari, kontraktor ini janji untuk siapkan rumah arwah ibu saya selewat-lewatnya sehingga Mei. Sekarang dah terlebih dua bulan dan sampai sekarang tak siap, saya bagi lagi masa sampai 31 Julai ini.

"Tapi alangkah terkejutnya saya selepas dua minggu saya datang semula, masih tiada 'progress' (perkembangan)!" luahnya.

Walaupun sudah membayar 80 peratus kos pengubahsuaian itu, Chef Wan turut mendedahkan kontraktor dilantik berkenaan masih meminta wang tambahan untuk tujuan menyiapkan kerja-kerja.

Sekali gus membuatnya mempertikaikan apa jadi kepada wang sebanyak RM420,000 yang dibayar malah membeli sendiri barang-barang untuk diganti dalam rumah terbabit.

"Saya tidak akan bayar apa-apa selagi kerja belum siap. Sinki, tandas, jubin lantai, pintu serta kelengkapan lain pun dia tidak siapkan padahal saya sudah belikan semua. Apa yang dia buat dengan duit yang saya bagi selama ini? Tiada satu pun kerja yang siap," katanya.

Paling Chef Wan kesal adalah niatnya memilih individu terbabit atas dasar ihsan untuk membantu.

Bagaimanapun kecewa apabila hasil kerjanya tidak memuaskan.

"Benci betul, kita selalu nak tolong bangsa sendiri bagi rezeki tapi mereka buat kerja tak ikut kontrak pula. Duit hendak tapi kerja semua separuh jalan dan mengecewakan, semua ini janji-janji manis!" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 1:28 PM