MOTOSIKAL mangsa. Foto ihsan Polis Daerah Ipoh
MOTOSIKAL mangsa. Foto ihsan Polis Daerah Ipoh
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Taman Perpaduan, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang, mangsa berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dipercayai keluar simpang dengan membelok ke kanan dan dilanggar motosikal ditunggang remaja berusia 16 tahun.

"Kemalangan berlaku di laluan sah motosikal ditunggang remaja yang datang dari arah Tambun menghala Bercham.

"Disebabkan jarak terlalu dekat, penunggang remaja terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan motosikal mangsa sebelum jatuh.

"Dalam masa sama, motosikal mangsa juga hilang kawalan lalu terjatuh dan terseret ke bahu kanan jalan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, penunggang remaja itu cedera ringan dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang melihat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 1:25 PM