Raja Noraina Raja Rahim


SEORANG lagi mangsa kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Kampung Ulu Bendul, Kuala Pilah, meninggal dunia petang semalam, menjadikan dua maut.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Md Dali Wahid berkata Muhammad Umar Kechik, 30, meninggal dunia kira-kira jam 5 petang ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban.

Terdahulu, katanya, ibu mangsa Sawiyah Hassan, 67, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, dalam kejadian jam 3.20 petang itu, Proton Persona dipandu mangsa dinaiki ibu dan isteri serta tiga anaknya dalam perjalanan dari arah Seremban ke Kampung Baru Air Hitam, Jempol.

"Siasatan awal mendapati mangsa cuba memotong kenderaan lain di hadapan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

"Berikutan itu, Sawiyah meninggal dunia di lokasi manakala Muhammad Umar, dan isterinya Siska Ria Amri, 32, yang parah dikejarkan ke HTJ. Tiga anak mereka berusia antara 8 bulan hingga 8 tahun cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemandu dan kelindan lori berusia 51 dan 22 tahun turut cedera.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 1:01 PM