TAPAK Hospital Rembau, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
TAPAK Hospital Rembau, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Khairul Najib Asarulah Khan


MASALAH reka bentuk binaan antara punca Hospital Rembau lewat disiapkan melebihi setahun dari tempoh yang ditetapkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, projek yang dimulakan pada hujung 2013 itu sepatutnya siap pada September tahun lalu.

“Disebabkan beberapa masalah terutama berkaitan reka bentuk, berlaku kelewatan. Bagaimanapun, ia dijangka siap pada Jun 2018.

"Setakat ini, hospital yang menelan kos keseluruhan bernilai RM104 juta itu sudah siap 82 peratus,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja Hospital Rembau, di Chembong, Rembau, hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong Datuk Zaifulbahri Idris dan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainudin Mohd Ali.

Subramaniam berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai pemantau akan memerhatikan pelaksanaan projek berkenaan yang mana hospital terbabit juga akan menjadi sebagai hospital kluster bagi Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban.

"Kepakaran tertentu HTJ akan dibawa ke Hospital Rembau manakala pesakit dari Port Dickson dan Tampin juga dapat menjalani rawatan di sini," katanya.

Hospital Rembau dibina di atas tanah seluas 19.4 hektar dengan kapasiti 76 katil yang akan dilengkapi kemudahan wad, wad bersalin, pusat rehabilitasi dan dewan bedah.

Apabila siap kelak, Hospital Rembau akan menjadikan Negeri Sembilan sebagai satu-satunya negeri yang mempunyai hospital di setiap daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 5:56 PM