KHAIRY (dua dari kiri) melancarkan ‘Rembau Challenge 2018’ di Hotel Sri Rembau, baru-baru ini.
KHAIRY (dua dari kiri) melancarkan ‘Rembau Challenge 2018’ di Hotel Sri Rembau, baru-baru ini.
Mohd Helmi Irwadi

Mohd

Rembau: Aktiviti sukan lasak, Rembau Challenge 2018 kini kembali buat kali keempat dan menyasarkan penyertaan maksimum sehingga 700 peserta dari dalam dan luar negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, program yang dianjurkan 7 Oktober depan sempena Hari Sukan Negara.

Katanya, pihaknya menjangkakan menerima penyertaan peserta luar negara antaranya dari Sweden, Australia, Thailand, New Zealand dan Singapura.

“Program ini dianjurkan sejak 2014 namun terpaksa dihentikan tahun lalu. Tetapi kini kembali dan menjanjikan cabaran serta laluan berliku,” katanya pada majlis perasmian program itu di Hotel Seri Rembau, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif 1M4U, Azlanuddin Malik.

Khairy berkata, acara yang dinantikan penggemar sukan lasak memerlukan peserta untuk berlari, berkayak, mendaki, berbasikal dan menjalani ujian misteri.

“Mereka akan melalui kawasan berbukit, gunung, sungai, kampung, hutan dan tanah merah. Program bertujuan memperkenalkan Rembau di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Menurut Khairy, penyertaan diterima pada 2016 seramai 600 orang dan sebanyak 100 penyertaan ditambah tahun ini.

“Bagi kategori profesional, trek sejauh 96 kilometer (km) menyaksikan peserta akan berlari, berbasikal dan mendaki di beberapa lokasi seperti Sungai Timun dan Dataran Rembau. Bagi kategori amatur, cabaran sejauh 54km,” katanya.

Beliau berkata, untuk keselamatan peserta luar negara, mereka akan ditempatkan di hotel dan inap desa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 10:50 AM