DR Subramaniam ketika melawat tapak Hospital Rembau.
DR Subramaniam ketika melawat tapak Hospital Rembau.
HM Digital

Rembau: Masalah reka bentuk pembinaan antara punca Hospital Rembau lewat disiapkan melebihi setahun daripada tempoh yang ditetapkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, projek yang dimulakan pada akhir 2013 itu sepatutnya siap pada September tahun lalu.

Menurutnya, beberapa masalah terutama berkaitan reka bentuk menyebabkan berlaku kelewatan dan dijangka siap Jun 2018.

“Setakat ini, hospital yang menelan kos keseluruhan bernilai RM104 juta itu sudah siap 82 peratus. Kita jangkakan ia siap sepenuhnya pada Jun tahun depan sebelum dapat digunakan dalam tempoh tiga ke empat bulan selepas itu.

“Jabatan Kerja Raya sebagai pemantau akan memerhatikan pelaksanaan projek berkenaan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Rembau, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong Datuk Zaifulbahri Idris dan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainudin Mohd Ali.

Menurut Subramaniam, hospital berkenaan juga akan menjadi hospital kluster bagi Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.

“Kepakaran tertentu HTJ akan dibawa ke Hospital Rembau manakala pesakit dari Port Dickson dan Tampin juga dapat menjalani rawatan di sini,” katanya.

Hospital Rembau dibina di atas tanah seluas 19.4 hektar di Chembong dengan kapasiti 76 katil yang akan dilengkapi kemudahan wad, wad bersalin, pusat rehabilitasi dan dewan bedah.

Apabila siap kelak, Hospital Rembau akan menjadikan Negeri Sembilan satu-satunya negeri mempunyai hospital di setiap daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 7:14 AM