KHAIRY (dua dari kiri) ketika merasmikan  program di Hotel Seri Rembau, hari ini. FOTO/FAIL
KHAIRY (dua dari kiri) ketika merasmikan program di Hotel Seri Rembau, hari ini. FOTO/FAIL
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


AKTIVITI sukan lasak, Rembau Challenge 2018 kembali buat kali keempat dan menyasarkan penyertaan maksimum sehingga 700 peserta dari dalam dan luar negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, program yang dianjurkan 7 Oktober depan sempena Hari Sukan Negara, akan membuka penyertaannya mulai esok.

Khairy berkata, pihaknya menjangka bakal menerima penyertaan peserta luar negara antaranya dari Sweden, Australia, Thailand, New Zealand dan Singapura.

“Program ini dianjurkan sejak 2014 namun terpaksa dihentikan tahun lalu. Tetapi kini kembali dan menjanjikan cabaran serta laluan lebih sukar,” katanya pada majlis perasmian program di Hotel Seri Rembau, hari ini.

Hadir sama, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif 1M4U, Azlanuddin Malik.

Khairy berkata, acara yang dinanti-nantikan penggemar sukan lasak itu memerlukan peserta untuk berlari, berkayak, mendaki, berbasikal dan menjalani ujian yang sengaja dirahsiakan.

“Mereka akan melalui kawasan berbukit, gunung, sungai, kampung, hutan dan tanah merah. Program bertujuan memperkenalkan Rembau di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Menurut Khairy, pada edisi 2016, seramai 600 individu menyertai acara berkenaan dan pihaknya menjangka tambahan sebanyak 100 penyertaan tahun ini.

“Bagi kategori profesional, perjalanan sejauh 96 kilometer (km) menyaksikan peserta akan berlari, berbasikal dan mendaki di beberapa lokasi seperti Sungai Timun dan Dataran Rembau. Bagi kategori amatur, perjalanan sejauh 54km,” katanya.

Beliau berkata, untuk keselamatan peserta luar negara, mereka akan ditempatkan di hotel dan inap desa terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 6:15 PM