Dr Subramanian melihat risalah garis panduan Methadon 2016 ketika pelancaran sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat kebangsaan di Tanah Merah, Kelantan, hari ini. - Foto Mohamed Sahidi Yusof
Dr Subramanian melihat risalah garis panduan Methadon 2016 ketika pelancaran sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat kebangsaan di Tanah Merah, Kelantan, hari ini. - Foto Mohamed Sahidi Yusof
Mohamed Sahidi Yusof


KEMENTERIAN Kesihatan memperuntukkan RM50 juta bagi program intervensi setiap tahun bagi mencapai matlamat mengakhiri penyakit AIDS menjelang 2030.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramanian berkata, pelbagai pelan strategik akan dilaksana dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata, fokus utama membabitkan pencegahan jangkitan dalam kalangan populasi, pengurangan stigma dan diskriminasi serta meningkatkan ujian dan rawatan.

"Selain itu, pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi Majlis AIDS Malaysia (MAM) dapat membantu mempercepatkan usaha memerangi AIDS.

“Kesedaran tinggi masyarakat mengenai penyakit berisiko tinggi itu membolehkan usaha mengakhiri AIDS 2030 semakin hampir," katanya selepas melancarkan sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat kebangsaan di Klinik Kesihatan Kemahang, Tanah Merah, Kelantan, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden Majlis AIDS Negara Baktiar Talhah.

Dr Subramanian, berkata setakat ini, ada 92,000 pembawa virus HIV di seluruh negara dan kira-kira 30 peratus menerima rawatan menerusi program intervensi yang dibiayai secara percuma oleh kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 4:55 PM