KHAIRY Jamaluddin (tengah) merasmikan Kabin H2H pada majlis pelancaran MENGAKHIRI AIDS melalui kerjasama pintar 'Go-Ngo' model KK 2.0 peringkat kebangsaan di perkarangan Klinik Kesihatan Pandamaran. FOTO Saifullizan Tamadi
KHAIRY Jamaluddin (tengah) merasmikan Kabin H2H pada majlis pelancaran MENGAKHIRI AIDS melalui kerjasama pintar 'Go-Ngo' model KK 2.0 peringkat kebangsaan di perkarangan Klinik Kesihatan Pandamaran. FOTO Saifullizan Tamadi
Ruwaida Md Zain

Klang: Masyarakat perlu mengubah stigma terhadap penagih dadah bagi membolehkan mereka tampil mendapatkan rawatan dan bantuan profesional untuk keluar daripada kehidupan itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebagaimana pendekatan badan bukan kerajaan (NGO) berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap pesakit HIV/AIDS, pendekatan sama perlu diamalkan kepada mereka yang berdepan kesihatan mental dan penagihan dadah.

"Stigma masyarakat sangat menghalang mereka tampil untuk mendapat rawatan atau bantuan, mereka (penagih) rasa jika pergi (dapatkan rawatan) dan mengaku sebagai penagih, ada kesannya seperti ditangkap.

"Dalam pemikiran mereka, masyarakat akan mengeji, mereka patut ditangkap dan dipenjarakan...seperti kes seorang remaja curi tabung masjid, cara dia dimalukan, masyarakat tidak sepatutnya bertindak sedemikian.

"Penagihan perlu rawatan perubatan. Sama juga masalah kesihatan mental, pendidikan dan pemahaman lebih lanjut sangat penting," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Mengakhiri AIDS Melalui Kerjasama Pintar GO-NGO Model KK 2.0 Peringkat Kebangsaan di Klinik Kesihatan Pandamaran, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Mengulas mengenai pendekatan NGO membantu individu yang hidup dengan HIV/AIDS, Khairy berkata, pendekatan Majlis AIDS Malaysia (MAM) melalui program itu sedikit sebanyak berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka yang hidup dengan HIV/AIDS.

"Melalui pelancaran inisiatif 2.0, kita bersama NGO ke lapangan dan memberi pendedahan kepada golongan rentan khususnya agar maklumat berhubung risiko dan rawatan itu dapat disampaikan.

"Program kerjasama itu membolehkan NGO untuk turut sama beroperasi di klinik kesihatan (KK) untuk membantu mengukuhkan program pengurangan mudarat kepada pesakit HIV/AIDS.

"Malaysia menggariskan pelan 15 tahun mengakhiri AIDS pada 2030 melalui National Strategic Plan in Ending AIDS 2016-2030 dan insya-Allah, dengan usaha berterusan, saya percaya sasaran ini dapat kita capai secara berperingkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 4:49 PM