RANIA bertanggungjawab beri kesedaran mengenai isu kesihatan kepada golongan sasaran. FOTO Ihsan Rania Zara Medina.
RANIA bertanggungjawab beri kesedaran mengenai isu kesihatan kepada golongan sasaran. FOTO Ihsan Rania Zara Medina.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


“BIAR dikutuk dan dikeji sekalipun, semangat saya tidak pudar untuk membantu beri kesedaran kepada golongan mak nyah mengenai isu kesihatan terutama dalam HIV dan Aids.

“Saya tidak boleh halang mereka (orang ramai) bersuara kerana itu hak masing-masing, namun apa yang saya pinta, lihatlah pelantikan itu dari sudut yang sepatutnya (positif), bukan berterusan mempersoalkan penampilan fizikal, keperibadian dan sebagainya,” kata Rania Zara Medina, 26.

Nama Rania hangat diperkatakan seluruh negara selepas surat pelantikannya sebagai ahli Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) bagi penggal 2019-2021 tular di media sosial.

Laman sosial miliknya turut dihujani kecaman dan kejian warganet yang mempersoalkan pelantikan berkenaan, malah ada pihak tidak bertanggungjawab menyebar gambar Rania ketika zaman persekolahan semata-mata mahu memalukannya.

Kata Rania, pelantikannya sebagai ahli CCM bukan bermaksud dia akan memperjuangkan hak mak nyah di negara ini, sebaliknya membantu kerajaan dalam memberi kesedaran kepada golongan sasar (transgender) mengenai isu kesihatan membabitkan HIV dan Aids.

Menurutnya, nama dia dicadangkan oleh komuniti mak nyah dan ia melalui proses pemilihan yang telus.

“Saya akui bukan satu tugas yang mudah (jadi ahli CCM) dan tidak semua (orang) sanggup melakukannya kerana masyarakat mempunyai persepsi negatif terhadap mak nyah.

“Ia mendorong orang ramai menjauhi golongan ini sekali gus menyebabkan komuniti transgender lebih percaya kepada ‘komuniti’ mereka sendiri.

“Tanggungjawab besar perlu dipikul memandangkan saya akan menjadi suara golongan ini dalam mesyuarat pelbagai peringkat termasuk kementerian untuk memberi maklum balas yang diperlukan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Rania berkata, dia juga mahu memperbetulkan persepsi masyarakat yang mendakwa punca utama penularan HIV dan Aids di Malaysia daripada mak nyah, sedangkan mereka hanya kelompok minoriti.

Meskipun dikecam teruk, dia bersyukur kerana keluarga dan rakannya masih menyokongnya termasuk rakan aktivis seperti Nisha Ayub yang mahu dia menggalas amanah itu dengan baik.

“Saya akan gunakan semua platform yang ada untuk memberi kesedaran, maklumat berkaitan kesihatan serta HIV dan Aids kepada komuniti sasaran (transgender).

“Jadi, pada yang masih berterusan mengeji, ketahuilah bahawa saya tidak akan sesekali berputus asa mahu pun menyerah kalah kerana masyarakat perlu sedar bahawa HIV dan Aids boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, kaum atau agama,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya menjelaskan bahawa pelantikan Rania sebagai ahli CCM Malaysia bagi penggal 2019-2021 adalah mengikut prosedur sedia ada.

Majlis Aids Malaysia (MAC) pula meminta semua pihak supaya menghormati pelantikan Rania dengan Presidennya memaklumkan pemilihan itu melalui proses telus, diterajui dan inklusif untuk memastikan hasil yang terbaik.

Berita berkaitan

Pelantikan ratu transgender dalam CCM ikut prosedur

'Betul ke dia transgender?' - PM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 7:36 PM