Siti A'isyah Sukaimi


KEDUTAAN Besar Malaysia di Myanmar sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara itu bagi memantau dan menghulurkan sebarang bantuan kepada wartawan Malaysia, Mok Choy Lin yang dijatuhi hukuman penjara dua bulan atas kesalahan mengikut Akta Aerodrome Myanmar 1934.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata, pihak kedutaan sudah mengadakan lawatan konsular ke atas Choy Lin yang bertugas dengan Turkish Radio and Television Corporation (TRT).

"Beliau juga dilaporkan berada dalam keadaan baik.

"Justeru, pihak kedutaan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Myanmar serta Kedutaan Besar Singapura dan Turki di Myanmar dalam memantau dan menghulurkan bantuan konsular ke atas warga negara berkaitan," katanya hari ini.

Semalam, agensi berita asing melaporkan Mahkamah Myanmar menjatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap empat individu termasuk dua wartawan selepas didapati bersalah menerbangkan dron di kawasan Parlimen.

Turut ditahan ialah wartawan Lau Hon Meng dari Singapura manakala dua lagi individu membabitkan warga tempatan iaitu Aung Naing Soe yang bertindak sebagai penterjemah dan pemandu, Hla Tin.

Keempat-empat individu itu ditahan bulan lalu ketika membuat penggambaran dokumentari di Naypyidaw.

Selain itu, mereka turut berdepan hukuman penjara lebih tiga tahun kerana mengimport barang larangan tanpa lesen sah dan perbicaraan akan diadakan pada 16 November depan.

Berikutan itu, Kementerian Luar menegaskan keperluan rakyat Malaysia untuk memahami dan memastikan pematuhan sepenuhnya undang-undang negara yang dilawati bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

Berita berkaitan

Dipenjara terbangkan dron tanpa kebenaran

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 6:49 PM