WA LONE (kiri) and Kyaw Soe Oo yang dipenjara kerana melaporkan krisis Rohingya dibebaskan hari ini selepas diberi pengampunan oleh kerajaan Myanmar. FOTO  EPA
WA LONE (kiri) and Kyaw Soe Oo yang dipenjara kerana melaporkan krisis Rohingya dibebaskan hari ini selepas diberi pengampunan oleh kerajaan Myanmar. FOTO EPA
AFP

YANGON: Dua wartawan Reuters yang dipenjara kerana melaporkan krisis Rohingya dibebaskan hari ini selepas diberi pengampunan oleh kerajaan Myanmar.

Wa Lone, 33, dan Kyaw Soe Oo, 29, diserbu media sebaik mereka melangkah keluar dari penjara Yangon.

Mereka dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun pada September lalu kerana melanggar akta rahsia rasmi selepas ditahan pada 12 Disember 2017.

Ketika ditemubual, Wa Lone memberitahu sudah tidak sabar kembali bertugas dan akan meneruskan kerjayanya sebagai wartawan.

“Sejak ditahan 511 hari lalu, mereka menjadi simbol kepentingan kebebasan media di seluruh dunia.

“Kami mengalu-alukan kepulangan mereka,” kata ketua pengarang Reuters Stephen Adler.

Ketika ditahan, kedua-dua wartawan itu menjalankan siasatan pembunuhan 10 penduduk etnik Islam Rohingya di wilayah Rakhine, utara Myanmar.

Laporan berita itu melayakkan Wa Lone dan Kyaw Soe Oo menerima anugerah Pulitzer bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 3:07 PM