Daniel Fenster. Foto Agensi
Daniel Fenster. Foto Agensi
Agensi

Washington: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mendesak agar kerajaan junta tentera Myanmar membebaskan Daniel Fenster, wartawan negara berkenaan secepat mungkin.

Lelaki itu bertugas di Myanmar dan ditahan awal minggu ini selepas cubaan untuk keluar dari negara berkenaan menggunakan laluan udara.

"Kami begitu mengambil berat terhadap penahanan warganegara AS yang bekerja sebagai wartawan di Yangon," kata jurucakap Jabatan Negara pada Jumaat lapor CNN.

Kenyataan itu memaklumkan, kerajaan junta tentera didesak untuk membebaskan Fenster bagi membolehkannya pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Fenster, 37, berasal dari Detroit, bekerja dengan sebuah agensi berita yang berpangkalan di ibu negara Myanmar, Yangon.

Jurucakap Jabatan Negara berkata, pegawai konsulat dari Kedutaan AS cuba untuk bertemu Fenster namun tidak diberikan akses oleh pegawai rejim.

"Kami mendesak kerajaan rejim memberikan akses untuk pegawai konsular bertemu selaras dengan Konvesyen Vienna dan Hubungan Konsulat tanpa sebarang syarat.

"Ini bagi memastikan hak yang diberikan sepanjang Fenster ditahan terjamin," katanya.

Penahanan Fenster adalah satu bentuk penindasan tentera terhadap wartawan adalah sesuatu yang menafikan kebebasan bersuara di Myanmar.

Andy Levin dari Parti Demokrat dari Michigan menerusi Twitter memaklumkan dia sudah bercakap dengan Duta Myanmar di AS dan Duta AS di Myanmar agar memberikan keutamaan terhadap pembebasan Fenster.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 12:04 PM