ORANG awam menunggu ahli keluarga masing-masing yang dibebaskan dari Penjara Insein, Sabtu lalu. FOTO AFP
ORANG awam menunggu ahli keluarga masing-masing yang dibebaskan dari Penjara Insein, Sabtu lalu. FOTO AFP
AFP

Yangon: Jepun mendesak pihak berkuasa Myanmar membebaskan wartawan negara matahari terbit itu yang ditahan di penjara, di sini, satu daripada sekurang-kurangnya 65 wartawan ditahan tentera junta terhadap tunjuk perasaan anti-kudeta.

Tentera meningkatkan usahanya untuk 'menghancurkan' perbezaan pendapat selepas demonstrasi besar-besaran menentang penggulingan pemimpin sivil, Aung San Suu Kyi, dengan sekurang-kurangnya 737 orang awam terbunuh, selain media turut menjadi sasaran.

Wartawan bebas Yuki Kitazumi ditahan semalam dan jurucakap Kedutaan Jepun mengesahkan wartawan itu sudah dipindahkan dari rumah pengawasan polis ke Penjara Insein.

Kitazumi belum didakwa dan diplomat meminta izin untuk mengunjunginya di penjara, kata jurucakap itu kepada AFP, hari ini.

"Kami meminta Myanmar untuk memberikan pembebasan awal. Kami akan melakukan yang terbaik untuk melindungi warga Jepun," kata jurucakap Jepun, Katsunobu Kato kepada wartawan.

"Sejauh mana alasan penangkapan dan penahanannya, Kedutaan Jepun berusaha untuk mengetahui perinciannya."

Ini kali kedua Kitazumi ditahan sejak rampasan kuasa di Myanmar. Pada Februari lalu, dia dipukul dan ditahan tetapi kemudian dibebaskan.

Media di Myanmar menghadapi tekanan junta tentera yang berusaha 'menyekat' penyebaran maklumat, akses internet dan menarik balik lesen lima media tempatan di negara itu.

Sekurang-kurangnya 34 wartawan dan jurugambar masih dalam tahanan di seluruh Myanmar, menurut kumpulan pemantau Reporting Asean.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 4:44 PM